‘Abd Allah ibn ‘Amr radhiallahu
'anh menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu
'alaihi wasallam dan berkata:
“Sesungguhnya
aku datang untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk
berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan
menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya:
“Kembalilah
kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka)
sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.”[1]
Berhijrah adalah salah satu
tuntutan Islam yang amat penting. Malah Allah Subhanahu wa
Ta'ala memberi amaran keras kepada sesiapa yang enggan berhijrah tanpa
alasan yang munasabah. Firman Allah:
Sesungguhnya
orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya
diri sendiri (kerana enggan berhijrah), mereka ditanya oleh malaikat dengan
berkata:
“Apakah
yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?”
Mereka
menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.”
Malaikat
bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah
dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat
akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk
tempat kembali.
Kecuali
orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta
kanak-kanak,
yang
tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula
mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian
sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pemaaf, lagi Maha Pengampun. [al-Nisa’ 4:97-99]
Termasuk orang yang
dimaafkan kerana tidak berhijrah adalah sebagaimana hadis di atas, dimana jika
berhijrah akan menyedihkan ibubapanya, maka yang lebih utama adalah dia tidak
berhijrah dan kembali menggembirakan mereka.
Dalam hadis ini terkandung
petunjuk bahawa menggembirakan ibubapa adalah salah satu daripada tuntutan
agama. Oleh itu janganlah kita melakukan sesuatu tindakan yang menjauhkan
ibubapa daripada kegembiraan, apatah lagi jika ia menyedihkan mereka. Tidak ada
cara yang terhad untuk menggembirakan ibubapa, asalkan ia tidak melibatkan
sesuatu yang dilarang oleh syari‘at. Kerap kali menghubungi mereka, sering kali
menziarahi mereka, membawa mereka bercuti, membelikan mereka hadiah adalah
beberapa contoh cara kita boleh menggembirakan ibubapa. Meninggalkan mereka
kesunyian, tidak menjengok mereka, tidak prihatin akan hal ehwal mereka,
bercakap dengan nada yang keras, memarahi mereka adalah beberapa contoh
tindakan kita yang menyedihkan mereka.
Timbul persoalan, bolehkah
menggembirakan ibubapa dengan meraikan Mother’s Day dan Father’s
Day? Sebahagian tokoh melarang sambutan Mother’s Day dan Father’s
Day. Hujah mereka adalah:
1.
Hari perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu ‘Idul Fitri dan ‘Idul
Adha. Apa-apa perayaan yang lain adalah bid’ah yang dilarang oleh agama.
2.
Seandainya Mother’s Day dan Father’s Day adalah
baik, sudah tentu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan
menganjurkannya kepada para sahabat radhiallahu 'anhum pada
zaman baginda.
3.
Mother’s Day dan Father’s Day adalah perayaan orang bukan
Islam dan kita umat Islam dilarang daripada mengikuti mereka.
4. Berbuat baik kepada ibu dan
ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu
dalam setahun.
Sekalipun tokoh-tokoh yang
melarang adalah mereka yang dihormati, itu tidaklah bermakna hujah-hujah mereka
tidak boleh dibuka untuk analisa. Dalam menganalisa hujah-hujah mereka
berkenaan sambutanMother’s Day dan Father’s Day, saya
dapati ianya adalah lemah. Sebabnya:
1. Perayaan bid‘ah yang dilarang adalah perayaan yang bersangkutan
dengan agama. Aidul Fitri dan Aidul Adha adalah hari perayaan keagamaan, kerana
itulah pada hari tersebut kita dituntut untuk bertakbir dan melaksanakan solat
sunat. Adapun hari Mother’s Day dan Father’s Day, maka
ia adalah perayaan yang bersangkutan dengan adat manusia, sepertimana perayaan
Hari Guru, Hari Warga Tua dan sebagainya. Tidaklah termasuk dalam perbincangan
bid‘ah atau sunnah apa yang bersangkutan dengan adat manusia.
Perlu diingatkan bahawa
dalam berinteraksi dengan persoalan bid‘ah, manusia terbahagi kepada tiga
kumpulan:
·
Pertama adalah mereka yang amat ketat penilaiannya, sehingga hampir
semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah yang dilarang oleh Islam.
Padahal sebahagian besar daripada perkara tersebut adalah sesuatu yang harus
hukumnya.
·
Kedua adalah mereka yang bermudah-mudahan penilaiannya, sehingga
hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah hasanah. Padahal di
antara perkara tersebut ada yang benar-benar merupakan bid‘ah yang dilarang
oleh Islam.
·
Ketiga adalah mereka yang berada di pertengahan, tidak
berlebih-lebihan dan tidak pula bermudah-mudahan. Setiap perkara yang baru
tidak akan dilabel sebagai bid‘ah mahupun sunnah melainkan terlebih dahulu
dianalisa secara mendalam.
2. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak
menganjurkan Mother’s Day dan Father’s Day pada
zaman baginda kerana suasana yang memerlukannya tidak wujud. Di kalangan
sahabat, ada yang ibubapa mereka memusuhi Islam. Maka sememangnya tidak perlu
berbuat baik kepada mereka. Bagi sebahagian sahabat yang lain, mereka tinggal
bersama atau berhampiran ibubapa sehingga tidak memerlukan hari yang istimewa
untuk berbuat baik kepada ibubapa.
Berbeza dengan masa kini,
kebanyakan kita (anak-anak) berada jauh daripada ibubapa, sama ada kerana
pembelajaran atau kerjaya. Suasana ini menyebabkan kita perlu mencari ruang
untuk berbuat baik kepada ibubapa semampu boleh sambil meneruskan kehidupan sendiri.
Meraikan ibubapa pada Mother’s Day danFather’s Day adalah
salah satu daripada ruang tersebut.
3. Tidaklah semua yang berasal daripada kaum bukan Islam adalah
dilarang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri
pernah meminta para tawanan Perang Badar untuk mengajar umat Islam membaca dan
menulis. Baginda juga pernah beberapa kali menggunakan strategi peperangan
bangsa lain dalam ekspedisi jihadnya.
Justeru larangan mengikuti
kaum bukan Islam sebenarnya ditujukan kepada sesuatu yang merupakan ciri-ciri
keagamaan mereka yang masih dipraktikkan. Merujuk kepada hari perayaan, kita
umat Islam dilarang untuk turut serta merayakan atau meniru hari keagamaan
mereka, seperti Hari Easter, Hari Thaipusam, Hari Wesak dan sebagainya. Mother’s
Day dan Father’s Day bukanlah hari keagamaan kaum
bukan Islam.
4. Hujah “Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang
tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun” adalah bukti
bahawa yang berhujah tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Bahkan ia boleh
digunakan untuk bertanya kembali kepada mereka: “Jika begitu kenapakah anda saat ini tidak
berada dan sentiasa berada di sisi ibubapa anda?”
Berbuat baik kepada ibubapa
tidaklah bererti duduk di sebelah mereka sepanjang masa. Akan tetapi ia adalah
mengimbangi dengan adil antara berbuat baik kepada mereka dan meneruskan
kehidupan sendiri. Salah satu daripada perimbangan tersebut ialah meraikan
ibubapa pada hari Mother’s Day dan Father’s Day.Sudah
tentu adalah lebih baik jika anak-anak dapat mewujudkan ruang yang lebih kerap
untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka. Ini akan saya jelaskan seterusnya
dalam buku ini, insya-Allah.
Oleh itu meraikan Mother’s
Day dan Father’s Day adalah harus, terbuka kepada
kedudukan setiap anak-anak. Sesiapa yang mendapati ianya dapat menggembirakan
ibubapa mereka, maka teruskanlah. Namun sesiapa yang dapat mewujudkan ruang
lain untuk menggembirakan ibubapa mereka tanpa terhad kepadaMother’s Day dan Father’s
Day, sudah tentu ia adalah lebih baik. Penjelasan yang sama juga ditujukan
kepada beberapa hari-hari yang lain seperti sambutan Hari Jadi.
No comments:
Post a Comment