Sunday 11 March 2012

Iman yang istimewa



    Orang yang beriman adalah orang yang istimewa dihadapan Allah SWT. Kerana iman, Allah SWT akan memberikan pertolongan-Nya dengan memudahkan kita untuk menempuh jalan yang dapat menghantar
kita menuju redha-Nya. Dengan iman juga Allah SWT akan menganugerahkan sesuatu yang sesuai dengan keinginan-Nya. Pertolongan Allah SWT yang akan menjadikan seseorang untuk mengikut jalan syariat-Nya.
Pertolongan Allah SWT juga yang membuat seseorang merasa senang menjadi hidup sesuai dengan perintah dan larangan-Nya.

"Dan kami selalu berkewajiban menolong orang-orang
yang beriman"

(Ar-Rum:47)  

       Orang orang yang beriman adalah mereka yang istiqamah di atas agama Allah SWT, memelihara hak-hakNya dan menjauhi pelbagai larangan-Nya. Iman adalah harta yang tidak ternilai harganya, apatah lagi dibandingkan dengan dunia seisinya. Kalau kekayaan dunia diberikan Allah kepada sesiapa sahaja, maka iman hanya diberikan kepada orang yang dicintaiNya.

       Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah SWT memberi akhlak kalian sebagaimana Dia memberi rezeki.
Allah SWT memberikan (kesenangan) dunia kepada orang yang dicintai dan dibenci-Nya
dan Allah SWT memberikan iman hanya kepada orang yang dicintai-Nya"

      (Hadis Riwayat Ahmad)

    
    Bersyukurlah, kerana anda telah dikurniakan iman dan sekaligus menjadi orang yang dicinta-Nya. Kehilangan terbesar adalah ketika iman terlepas dari hati setiap orang dan kerugian yang nyata adalah ketika 
iman terkikis dari hati kita. Hidup tanpa iman seperti malam tanpa cahaya. Yang ada hanya gelap gelita. Setiap gerakan tanpa kendali dan segala kejadian terasa menyakitkan hati.

     Keimanan yang teguh kepada Allah SWT akan menghadirkan kebahagian dalam hati dan mententeramkan jiwa. Hanya dengan iman hidup terasa manis, kehidupan terasa indah, setiap waktu adalah
kebahagian dan segala bentuk penderitaan akan sirna. Allah SWT berfirman:

"Sesiapa yang Allah kehendak diberi petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk 
(memeluk) islam. Dan siapa yang Allah hendak kesesatanya, nescaya Allah SWT 
menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah dia sedang mendaki kelangit.
Begitulah Allah SWT menimpahkan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman."

(Al-An'am:125)


    Iman adalah benteng yang kukuh dan perisai yang keras dalam menjaga setiap orang yang berlindung kepadaNya, menolak setiap bala yang akan menimpa dan akan menuntun kehidupan menuju kawasan yang diredhai Allah SWT dan penuh suka cita.

    Itulah gambaran hidup yang sejahtera, kehidupan penuh redha dan di redhai, serta usia yang diliputi kebahagiaan. Sebahagian orang bijak berkata: "Ku lalui setiap waktu dengan hati gembira." Ada juga yang berkata : " Banyak waktu yang telah ku lalui, apabila penghuni syurga melihatku, nescaya meraka akan mengatakan bahawa hidupku sungguh bahagia".
      
    Dari dua perkataan bijak itu, anda tergolong yang mana?

No comments:

Post a Comment